Sumber Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara akan terus diperjelas dan diperincikan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami inti patinya.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pada masa ini, prinsip Rukun Negara yang mempunyai pautan dengan gagasan 1Malaysia hanya didengari tanpa difahami.
Katanya, bagi meningkatkan pemahaman di kalangan masyarakat, pihaknya akan memulakan kempen penjelasan inti pati Rukun Negara menerusi pelbagai projek dan program kementerian itu mulai bulan hadapan.
“Kita akan mengadakan kempen yang lebih meluas dan berkesan untuk semua lapisan masyarakat bersekali dengan 1Malaysia supaya semua pihak memahami isian Rukun Negara yang dirasakan satu-satunya falsafah kenegaraan yang kekal, tetapi tidak mendapat tempat seperti yang diasaskan awalnya pada 1970.
“Kementerian berasa bahawa pembawaan dan amalan Rukun Negara harus dijadikan elemen nyata dan difahami terus-menerus oleh semua lapisan masyarakat,” katanya kepada media pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, semalam.
Rais berkata, antara program dan projek yang dikenal pasti untuk diberikan penjelasan ialah menerusi pembudayaan muzik, pementasan, pelajaran dan pendidikan, program Komuniti Bestari dan ceramah oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah kementeriannya.
“Bagi pelajar sekolah, kita kini merangka pelbagai program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, termasuk mengadakan kuiz berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia.
“Di semua projek kerajaan pula, harus kita paparkan Rukun Negara itu sebagai satu piagam yang jelas supaya dapat mereka (masyarakat) lihat. Inilah harapan kita dan kita yakin kempen berterusan ini akan melahirkan semangat kekitaan yang lebih jelas dan mantap,” katanya.
Rais berkata, masyarakat yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun adalah golongan yang kurang dapat menghayati prinsip Rukun Negara.
“Jadi kita kena cerita semula apa asasnya Rukun Negara itu. Apa ertinya Kepercayaan Kepada Tuhan (prinsip pertama) sehinggalah ke tatasusilaan (Kesopanan dan Kesusilaan), agar setiap baris yang lima itu difahami dari segi sebenar dalam konteks agama, kaum, jabatan dan bidang masing-masing,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment