KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2012/2013 akan diumumkan Jumaat ini.
  
Pemangku Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ismail Nor Hassan Basri berkata calon yang memohon boleh menyemak keputusan permohonan mulai pukul 12 tengah hari.
  
"Pemohon boleh menyemak permohonan mereka menerusi tiga saluran utama iaitu laman sesawang KPT; talian bantuan (Helpline), talian hotline; dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. 
  
Calon boleh menyemak menerusi laman web http:upu.mohe.gov.my atau di talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777 dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS); UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.
  
Menurut laman sesawang KPT, keputusan kemasukan permohonan akan dikeluarkan pada minggu kedua bulan Julai tetapi tiada sebarang tarikh dinyatakan.
  
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa menafikan berlakunya kelewatan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA.
  
"Keputusan bukan lambat. Memang 13 Julai telah ditetapkan. Keputusan belum boleh disemak, belum dimasukkan ke dalam sistem. Pemilihan akhir oleh universiti sedang berlangsung," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. - Bernama




*** Kepada yang dapat msuk universiti harap belajar elok2, n yang dapat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) welcome n jumpa di UMT yew..