Saturday, January 1, 2011

Lelaki... awas 5 petunjuk ini!

Oleh NORAINI ABD. RAZAK ( utusanonline.com.my)





Dalam masyarakat yang semakin obses dengan kesihatan, adalah mustahil untuk melepaskan diri daripada memperkatakan tentang kisah-kisah pahit dan manis berkaitan kesihatan. Daripada pandemik kepada simptom-simptom penyakit yang menggerunkan, berita-berita mengenai penyakit selalunya diiringi dengan elemen takut dan bimbang.
Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun jantina. Apa yang boleh dilakukan adalah mencegah dan kemudiannya jika tidak berkesan merawat. Bagi lelaki, kesihatan mungkin bukan topik yang digemari. Namun tidak bermakna soal kesihatan dipandang ringan.
Mungkin ada perkara-perkara kecil yang mesti diberi perhatian oleh kaum lelaki untuk menentukan sama anda boleh dikategorikan sebagai lelaki sihat.
Berikut lima tanda atau petunjuk taraf kesihatan lelaki.
1. Kuku yang kuat dan berwarna merah jambu.
Penjagaan kuku mungkin tidak tersenarai sebagai perkara penting dalam diari kesihatan kaum lelaki. Tetapi percayalah kuku boleh mendedahkan banyak mengenai kesihatan seseorang. Secara umumnya, kuku individu yang sihat berwarna merah jambu, kukuh tetapi lembut. Sedikit perubahan pada kuku seperti tompok putih dan permukaan yang sedikit tidak rata adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan besar mesti diberi perhatian.
Kuku yang tebal dan berwarna kekuningan mungkin isyarat bagi penyakit berkaitan pernafasan seperti bronkitis yang kronik. Kesan lekuk melintangi kuku yang dikenali sebagai garisan Beau pula tidak mustahil membawa maksud individu berkenaan mengidap diabetes. Kuku yang berbentuk seperti sudu yang melengkung keluar mungkin menunjukkan masalah kekurangan zat besi. Biar pun perubahan pada kuku bukan isyarat atau petunjuk pertama kepada sesuatu penyakit, tetapi adalah lebih baik rujuk masalah tersebut kepada doktor anda.
2. Warna air kencing
Pernahkah anda terfikir untuk menjalani ujian air kencing untuk melihat sama ada anda sihat atau sebaliknya? Jika tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berbuat demikian kerana ujian air kencing boleh mendedahkan petunjuk-petunjuk penting tentang kesihatan anda. Air kencing sepatutnya berwarna keperangan untuk menunjukkan seseorang itu sihat. Bagaimanapun warna perang atau kuning pada air kencing boleh berbeza bergantung kepada jumlah air yang diminum. Jika anda minum air yang banyak maka kebiasaannya air kencing selalu kelihatan jernih dan secara perubatan ia menunjukkan anda sihat. Bagaimanapun jika anda mengalami dehidrasi, air kencing anda akan berwarna perang gelap. Selain faktor warna, sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang perubahan besar. Bau kurang menyenangkan, tompokan darah atau warna-warna lain yang tidak berkaitan dengan makanan, ubat atau suplemen yang diambil mesti dipandang berat.
3. Pancutan air mani
Lelaki pertengahan umur yang sihat sepatutnya mempunyai keupayaan untuk memancutkan antara 2 dan 5 ml air mani. Semakin berusia seseorang lelaki itu semakin kurang air mani yang dipancutkan. Justeru 2 ml air mani adalah petunjuk hypospermia - keadaan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan seseorang lelaki. (Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyokong kadar 2 ml). Selain daripada jumlah, warna serta konsistensi air mani juga menjadi petunjuk kepada kesihatan lelaki. Lelaki yang sihat sepatutnya mempunyai air mani yang pekat, berwarna putih atau sedikit kelabu. Air mani yang bercampur dengan darah mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatan.
4. Kadar degupan jantung semasa berehat 70 bpm.
Kadar degupan jantung semasa berehat (RHR) atau jumlah degupan jantung seminit semasa berehat adalah indikator yang bagus untuk menentukan paras kecergasan anda. Walaupun RHR berbeza mengikut usia, bagi lelaki yang sihat jumlah RHR antara 70 dan 75 degupan seminit (bpm) adalah sasaran yang munasabah. Malah, RHR antara 60 and 100 bpm secara umumnya dianggap normal bagi lelaki dewasa. Kadar degupan jantung di luar catatan tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah kesihatan anda. Untuk mengukur denyut nadi, letakkan dua jari pada pergelangan tangan. Apabila merasa denyutan nadi, lihat jam dan kira denyutan selama 15 saat. Darab jumlah tersebut dengan empat untuk mendapat kadar denyutan anda seminit.
5. Kulit anjal
Ukuran keanjalan kulit biasa digunakan untuk menentukan paras dehidrasi. Cirit-birit atau muntah-muntah menyebabkan seseorang kehilangan cecair dalam badan. Kulit yang sihat kekal anjal dan akan kembali normal apabila masalah tersebut pulih. Untuk menguji keanjalan kulit anda, cubit kulit di belakang tangan anda. Kulit yang kering akan kekal terangkat dan secara perlahan kembali kepada kedudukan asal. Kulit yang sihat pula akan kembali normal dalam masa yang singkat.
Adakah anda lelaki yang sihat?
Semakin hari kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat mengenai penyakit, tetapi jarang sekali kita disogokkan dengan makna sebenar menjadi sihat. Biar pun lima signal itu tidak lengkap namun memberi perhatian kepada petunjuk-petunjuk pada diri sendiri membantu anda mengenal pasti masalah yang mungkin anda hadapi.

No comments:

Post a Comment