Friday, December 10, 2010

Sampah di Kuala Lumpur membimbangkan - Dr. M

Sumber utusan Online

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Sebanyak tujuh juta tan sampah dihasilkan oleh penduduk di kawasan pembangunan Greater Kuala Lumpur (Greater KL) yang dianggarkan berjumlah 5.5 juta orang setiap tahun.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan sebahagian daripada 34,310,000 tan sampah yang dihasilkan keseluruhan rakyat di negara ini pada jangkamasa sama.
Menurut beliau, jumlah itu amat membimbangkan kerana negara memerlukan kawasan yang luas untuk pelupusan sampah.
''Apa yang boleh kita lakukan dengan tujuh juta tan sampah itu? Sudah tentu kita boleh buangkan sahaja ke tepi jalan atau longkang dan sungai.
''Namun, ia akan mengakibatkan longkang dan sungai dipenuhi sampah serta tersumbat yang seterusnya menyebabkan banjir.
''Atau juga kita boleh bakar sahaja sampah di belakang rumah. Jika sebuah rumah berbuat demikian mungkin ia okey. Tetapi bagaimana kalau setiap orang di Kuala Lumpur melakukannya? Bukan sahaja jerebu malah ia akan mencemarkan alam sekitar,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam blognya, http://chedet.co.cc, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan insinerator untuk pelupusan sampah mungkin menjadi jalan penyelesaian.
Sungguhpun begitu, jelasnya, tidak ada kalangan kita yang mahu insinerator dibina di kawasan berhampiran masing-masing.
''Untuk itu, kita perlu mencari kawasan yang tidak didiami oleh sesiapa bagi membinanya. Namun, jika diperhatikan di kawasan sekitar pembangunan Greater KL, sudah pasti kita tidak akan dapat mencari sebidang tanah yang sesuai untuk dibina insinerator.
''Jika ada, sudah tentu ia agak jauh dan akan meningkatkan kos pengangkutan yang diselenggara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),'' ujarnya.
Beliau seterusnya mencadangkan agar mereka yang menghasilkan sampah dikenakan bayaran tertentu.
''Tetapi, saya tidak fikir setiap daripada kita bersetuju dengan cadangan itu.
''Inilah dilema yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang saya utarakan dalam blog supaya masyarakat dapat memikirkan jalan penyelesaian bersama,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment