Friday, December 23, 2011

Susu bayi Enfamil keluaran AS tidak diimport ke negara ini

Sumber: utusan.com.my



PUTRAJAYA 23 Dis. - Susu rumusan bayi jenama Enfamil keluaran sebuah syarikat dari Amerika Syarikat yang dilaporkan menyebabkan kematian seorang bayi di negara itu didapati tidak diimport ke negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, perkara itu telah disahkan dari hasil maklum balas syarikat Mead Johnson Malaysia dan menerusi Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).
Bayi dari Missouri itu mati disyaki berpunca daripada pengambilan produk tersebut yang dicemari bakteria Cronobacter yang mengakibatkan produk terbabit ditarik dari pasaran di Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan, Dr. Hasan berkata, bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah mengenakan tindakan Pemeriksaan Tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) di bawah FoSIM terhadap produk itu sekiranya ia didapati diimport ke negara ini.
Pengguna yang merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu produk makanan di pasaran tempatan, boleh membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my/v3. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment